Hai semua! Selamat Hari Malaysia. Tiba-tiba terasa mahu kongsi sedikit impian aku mengenai negara tercinta ni. Semua bebas menyuarakan pandangan, tapi ini adalah impian aku. Korang bebas untuk tidak setuju.
Nak bagi nampak tersusun, aku bahagikan impian ni kepada beberapa aspek, pendidikan, politik, ekonomi dan sosial. Tapi memandangkan impian kita adalah sesuatu yang tiada batasan, post ni hanya akan cakap pasal pendidikan dan politik.
Pendidikan
Aku impikan sistem pendidikan Malaysia dilepaskan daripada cengkaman ahli politik. Menterinya terdiri daripada orang akademik bukan politikus. Sekolah dan universiti bebas daripada dasar yang memenangkan pemerintah, sejarah tidak lagi direka tetapi berupaya menceritakan apa yang dilalui negara.
Aku ada impian, pencapaian dalam peperiksaan bukanlah indikator mutlak untuk mengukur bakat seseorang. Ibu bapa masih lagi yakin bahawa anak mereka boleh 'jadi orang' walaupun dapat 1A dalam SPM. Hari ini, anak-anak yang dapat 5A ke atas boleh masuk kelas sains tulen, yang belajar lingkup ambillah sastera. Wah senang kerja cikgu kalau macam tu ye? anak bukan robot.
Aku berharap hanya mereka yang mahu belajar layak masuk ke universiti. Mereka yang kurang dalam bidang akademik masih ada ruang di poli-politeknik dan badan-badan kemahiran. Aku tak senang melihat tumbuhnya universiti seperti cendawan selepas hujan. Kualiti di atas kuantiti, itu lebih elok.
Aku mengimpikan, semua rakyat Malaysia akan bersekolah di bawah satu bumbung yang sama. Tiada lagi sekolah jenis kebangsaan. Tiada lagi sekolah swasta yang belajar sejarah Greek dan Rom berbanding sejarah negara sendiri. Masakan boleh sekolah jenis ini menerapkan rasa cinta pada negara? Suruh nyanyi lagu Negaraku pun terkebil-kebil mata. Suruh cakapa bahasa Malaysia pun tergagap-gagap, tiba-tiba nak mengaku sayangkan Malaysia.
Anak-anak kita akan makan makanan yang sama, pakai pakaian yang sama, mendapat bantuan yang sama rata, bertutur bahasa yang sama, bermain di padang bersama-sama. Semua sama. Warna kulit je lain.
Anak-anak di sekolah rendah tidak harus diragut dunia mereka. Biarkan mereka belajar melalui bermain. Menyapu sampah, membersihkan tandas, khidmat komuniti, membantu orang kelainan upaya, menyantuni orang tua harus ada dalam praktikal pendidikan. Aku tidak setuju ada ibu bapa yang memaksa anak hafal ABC seawal usia 4 tahun, butakah mereka?
Sistem pendidikan ini haruslah mampu menjadikan anak-anak kita rasa mereka semuanya sama. Insyaallah negara aman damai.
Politik
Aku ada impian, kalau rakyat yang nak cari kerja perlukan kelayakan akademik untuk dapat kerja, begitu dengan pemimpin negara. Politikus perlu faham struktur pembentukan negara bangsa, ekonominya, agama dan sebagainya. Aku mahukan pak menteri yang ada misi dan visi, bukan menteri yang hanya pandai membaca skrip.
Aku mahukan, TV3, TV1, Utusan dan lain-lainnya jadi milik rakyat. Bukan milik pemerintah. Pemerintah harus dengar cakap rakyat bukan rakyat yang harus dengar cakap pemerintah.
Aku rindukan roh Islam dalam politik negara. Masakan boleh dipisahkan Islam dengan politik? sedangkan Islamlah yang akan membersihkan politik.
Aku bosan dengan politik fitnah dan mengumpat.
Aku bosan dengan politikus yang syok sendiri.
Aku bosan dengan pencacai yang mengampu. Sampai bila pemimpin akan dikerumuni pencacai di belakang mereka. Mencari ruang untuk keluar Buletin Utama? Atau mencari habuan untuk disumbat dalam tembolok?
Perdana Menteri harus sama tarafnya dengan penjawat awam yang lain, walaupun kuasanya lebih, tapi tarafnya masih sama. Aku kagum dengan Britain, ada sekali terlihat di kaca TV, Gordon Brown sedang melawat tempat banjir di London. Yang mengiringinya hanyalah 5 orang pegawai. Siapa kisah? Pada mereka Perdana menteri dan orang lain adalah orang yang sama tarafnya. Cuba tengok Najib, berapa ratus pencacai yang ikut dia? Pegawainya hanya sekerat padahal.
Aku ada mimpi, setiap rakyat dapat pembelaan dan penjagaan yang sama rata. Politik kroni harus dimampuskan. Masih adakah pemimpin yang hanya menyuap rakyat yang menyokongnya? Sedangkan semua rakyat adalah amanahnya. Mengapa tiada lebuhraya di Pantai Timur? Sebab mereka bukan kronimu?
Aku impikan pemimpin yang tidak hanya bercakap soal pencapaian, tetapi juga muhasabah dengan kegagalan. Kegagalan harus dikaji dan diperbaiki, bukan disembunyi. Saban tahun ada sahaja angka baru yang akan keluar, demi mununjukkan Malaysia telah berjaya. Hakikatnya? kita dibuai dengan mimpi pemimpin yang berdusta.
Sampai bila mereka harus berdusta?
Malaysiaku, engkau berhak menerima yang lebih baik.
Nyatalah mimpiku.
hai
ReplyDelete