Hai semua! Assalamualaikum.
Cikgu hidup kat dunia ni dah hampir 25 tahun. Cikgu seorang lelaki yang masih mentah, tetapi telah merasai pelbagai pengalaman di dunia ini ketika cikgu masih kanak-kanak dan remaja.
Apa yang cikgu boleh katakan, dunia ini adalah tempat yang indah, segala macam kelazatan ada di dalamnya. Ia boleh menjadi nikmat bahkan boleh menempah laknat.
Adat jiwa muda, yang masih panas darahnya, semua benda mahu dicuba. Adakalanya benda yang tak baik pun kita rasa nak cuba. Semuanya sedap, indah, lazat dan nikmat belaka. Namun, alhamdulillah pengalaman mematangkan cikgu.
Cikgu ingin titipkan pesanan buat adik-adik semua. Semua benda yang berdosa di dunia ni, dilarang oleh agama, tersembunyi kenikmatan yang tiada batasnya. Nikmat yang boleh mencuri kita dari Allah dan agamaNya. Sekali kita cuba, pasti kita nak cuba kali kedua. Setelah hilang nikmat kali kedua, kita nak pula yang ketiga dan begitulah seterusnya.
Gejala inilah yang kita panggil sebagai ketagihan. Ya, ketagih dengan 'syurga' dunia. Kita berlindung dengan Allah daripada ketagihan kepada dunia ini.
Sekiranya kita yakin iman kita cukup ampuh, berkawanlah dengan semua orang. Jangan memilih. Namun, jika musykil dengan iman sendiri, berkawanlah HANYA dengan mereka yang soleh. Agar hati kita tertaut kepada Dia.
Setiap kali kita nak cuba sesuatu yang baru seperti games, merokok, minum arak, drama, menonton filem yang tak sepatutnya, clubbing dan lain-lain, tanya dulu kat diri kita, "mampu tak aku nak halang diri aku buat benda ni buat kali kedua setelah aku cuba yang pertama?". Kalau jawapannya tidak, jangan cuba. Dan jangan berpura-pura memberi jawapan 'ya'. Kerana orang yang paling beriman, sentiasa takut melakukan maksiat. Takut hati mereka lari dari tujuan asal iaitu menuju Allah.
Adik-adik, cikgu dah merasai pelbagai jenis ketagihan, yang tak perlulah cikgu nyatakan. Sungguh, ketagihan itu nikmat sangat, tetapi seksanya nak melepaskan diri dari ketagihan itu jauh lebih menyakitkan berbanding kenikmatannya. Kadang-kadang, cikgu merintih seorang diri, "Ya, Allah macam mana aku nak lepaskan diri dari dosa ni..." Percayalah cakap cikgu.
Dunia ini memenjarakan kita. Kita sentiasa dipagar daripada dekat dengan Allah. 'Pagar' itulah yang kita panggil sebagai ketagihan dunia.
Banyakkan istighfar. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Kalau kita rasa Allah murka dengan kita, ketahuilah rahmat Dia jauh lebih besar daripada kemurkaanNya.
Ya Allah maafkan aku, ampunkan dosa kedua-dua ibu bapaku, guru-guruku, murid-muridku, sahabat-sahabatku, mereka yang menyayangi aku. Ya Allah ampunkan dosaku dan dosa orang yang aku telah aniyai. Janganlah Engkau jadikan mereka saksi ke atas kezalimanku. Aku hanya mahu kembali denganmu.
Amiin.
No comments:
Post a Comment